Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpah kurniaNYA, kita dilahirkan dan ditakdirkan sebagai Islam serta hidup dalam kehormonian Negara kita Malaysia yang bersifat wasatiah di dalam segenap segi. Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita sebagai Muslim untuk menunaikan dan melaksanakan segala tanggungjawab terhadap agama (berdakwah bukan berdakyah). Umum mengetahui, bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam contoh yang sentiasa maju ke hadapan, malahan menjadi role model kepada Negara-Negara Islam yang lain. Pendekatan Islam hadhari yang diperkenalkan oleh YAB perdana menteri Malaysia amat bertepatan dan menjadi wadah perjuangan untuk mengagungkan kembali kedaulatan agama Islam pada mata dunia dan yang paling penting pada Allah swt. Perpecahan ummah, pertelagahan antara kaum, perebutan kuasa, perbezaan pendapat dan perlabelan Islam sebagai pengganas telah meletakkan penganut Islam di dalam keadaan tersepit dan tertindas.
Justeru, ekspresi ulul albab di sebut dalam al quran pada banyak surah tidak kurang dari 16 kali. Antara surah-surah yang disebut perkataan ini ialah surah al-baqarah, ali’imran, al-maidah, yusof, Sad, al-zumar, al-ghafir, al-talaq, al-ra’du dan ibrahim. Pengulangan ini menunjukkan bahawa perkara ini amat penting untuk dikaji dan difahami oleh umat Islam sepanjang zaman. Dalam perspektif ilmu tafsir al-quran, ulul albab merujuk kepada orang-orang yang berakal fikiran yang mantap dan sempurna serta memiliki fardhu ain (ilmu wahyu) dan ilmu kifayah (ilmu perolehan) sekaligus, kerana kedua-duanya dituntut oleh agama Islam.
Pendekatan Islam hadhari merupakan suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan Negara Malaysia yang bersifat menyeluruh dan sepadu, berteraskan prinsip-prinsip tamadun yang digariskan oleh Al- Quran dan Sunnah. Pendekatan ini diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding dengan pendekatan Islam secara juz’I, sempit ataupun terpisah-pisah, seperti bersifat politik ‘al Islam al syasi, Islam bersifat tasawwuf ‘al-Islam al-Sufi dan seumpamanya. Kita dapati, ada segelintir mereka yang masih kurang memahami dan memesongkan pendekatan yang murni ini dari tujuan sebenar oleh itu, perkara pokok yang perlu diperjelaskan kepada semua adalah Islam hadhari bukanlah satu agama baru atau ajaran baru. Setelah berakhirnya perutusan para nabi dan rasul, tugas membimbing terhadap pemahaman agama Islam menjadi tanggungjawab para ulama dan para pemimpin.
Maksudnya, inti pati ajaran Islam sepertimana yang diturunkan oleh Allah swt dan disampaikan oleh Rasullullah saw tetap tidak akan diubah. Namun konsep dan pendekatan kefahaman kita terhadap Islam itulah yang memerlukan pengolahan bersifat semasa (up to date) kontemporari, menurut peredaran zaman serta keperluan terkini. Yang paling penting ianya tidak melanggar prinsip asas tauhid sebagaimana digariskan Al-Quran dan Sunnah. Ini amat mustahak difahami kerana Islam itu adalah agama yang bersifat dinamik dan progresif. Ia bukanlah agama yang kaku dan jumud. Memang benar menurut satu ayat dalam Al-Quran bahawa Allah swt tidak terlepas pandang atau meninggalkan sesuatu halpun dalam ajaran Al-Quran (Al-An’ am 6:38). Ini mengambarkan betapa syumul dan lengkapnya Al-Quran dalam menyentuh semua aspek kehidupan kita. Justeru ramai yang bertanya,apa perlu lagi konsep Islam Hadhari? Disinilah , ulama-ulama menafsirkan bahawa sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan lengkap itu sebenarnya penditilan maklumat , prinsip, landasan dan kerangka besar ( bigger picture ) setiap perkara.
Islam hadhari membawa maksud pendekatan Islam yang memberi fokus kepada aspek untuk meningkatkan tamadun dan kualiti hidup masyarakat. Masyarakat yang mempunyai peradaban yang unggul serta mampu merempuh pelbagai cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, globalisasi, sekularisme, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identity, penjajahan pemikiran dan sebagainya. Allah swt mengulang-ulang dalam banyak ayat Al-Quran perkataan-perkataan seperti ulul absar (mereka yang melihat dengan pandangan mata kasar), ulul albab (mereka yang melihat dengan mata hati), dan ulul zikri (mereka yang berpengetahuan). Seruan kepada golongan-golongan ini, menunjukkan galakan yang bersungguh-sungguh untuk manusia berfikir, merencana, dan menimba ilmu pengetahuan.
Walaubagaimanapun, pendekatan Islam hdahri juga tidak menafikan kepentingan aspek ritual dan kerohanian dalam pembinaan tamadun ummah. Ini kerana pandangan hidup, system nilai, kestabilan jiwa dan kekuatan rohaniah merupakan tonggak kepada pembangunan dan pembinaan tamadun disamping kemajuan material. Justeru, konsep Negara yang akan dibina ialah Negara yang mempunyai masyarakat yang maju dan membangun , berilmu, berkemahiran, berketerampilan serta tergambar sebagai masyarakat yang berakhlak, berbudi, berbudaya dan berpaksikan kepada kepercayaan agama. Kita tidak mahu menjadi umat Islam yang sempit kefahaman akhiratnya serta menyisihkan pula pencapaian di dunia. Walhal, sesiapa yang mementingkan akhirat, sepatutnya lebih kuat bekerja kerana kita perlukan kedua-duanya. Tambahan pula, konsep ibadah itu luas dan mencakupi sebarang pekerjaan yang baik, selagi mana tidak bercanggah dengan hukum agama. Pegertian ibadah seharusnya diperkuatkan dengan prinsip berani hidup dan bukan berani mati yang sia-sia. Bila sudah mati, maka perjuangan ikut berakhir, tetapi selagi hidup perjuangan dapat diteruskan.
Pembangunan modal insan amat penting dalam menggarap harapan dan impian ummah dan Negara terbilang. Modal insan merujuk kepada golongan yang menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu, pelbagai dan semasa, lantas kecermerlangan seseorang dapat dikembangkan , kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat di bangunkan. Dalam mana-mana masyarakat yang maju dan bertamadun, sejarah telah membuktikan bahawa ia tidak mungkin berlaku tanpa menjadikan ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang bersepadu mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan tamadun Timur.
Melalui pengukuhan ilmu fardhu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardhu kifayah, hasrat untuk mencapai kecermerlangan terbuka luas. Melalui system pendidikan yang melengkapi DWI pengkhususan atau double major, Negara mampu melahirkan modal insan yang berkemampuan meneraju pembangunan Negara dan ummah. Usaha penyelidikan, penerokaan serta penemuan ilmu dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari bahwa Islam jauh ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Oleh itu, sangat wajar usaha pengkajian dan penyelidikkan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohaniah dan jasmaniah dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur. Ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah ali’imran, ayat 90 :
Maksudnya: “sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”
Strategi-strategi pembangunan modal insan telah digubal berdasarkan cirri-ciri dan nilai-nilai yang terdapat dalam 10 prinsip Islam Hadhari. Antaranya ialah
- Memperbetulkan dan memperkasakan pengetahuan umat islam tentang tasawwur Islam ;
Isu yang paling mencabar dan membelenggu pemikiran dan amalan Islam pada masa kini adalah kegagalan mereka memahami tasawwur Islam (gambaran mengenai Islam) secara jelas, tepat, dan menyeluruh. Salah faham ini telah menyebabkan berlakunya salah tafsiran yang akhirnya membawa kepada salh pendekatan dalam mengamalkan cara hidup beragama dikalangan umat Islam. Terdapat orang Islam yang memahami Islam dalam konteks ibadah khusus dan fardhu ain semata-mata, tanpa mengambil kira aspek kemajuan dan ketemadunan ummah sebagai sebahagian daripada tuntutan agama Islam. Malah ramai juga dikalangan umat Islam yang membataskan konsep fardhu kifayah dalam konteknya yang sangat terbatas.
Justeru itu, strategi pertama pendekatan Islam hadhari adalah untuk mempertulkan dan memperkasakan pengetahuan umat Islam mengenai tasawwur Islam dengan menjelaskan bahawa ajaran agama Islam bersifat syumul dan cukup komprehensif, meliputi aspek fardhu ain dan fardhu kifayah sekaligus.
- Memperkasakan ketakwaan dan keimanan umat Islam
Bagi orang Islam pendekatan Islam hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt sebagai teras utamanya. Al-quran dan Sunnah Rasulullah saw menjadi pegangan dan rujukan. Gabungan kemantapan akidah, syariah, dan akhlak yang terpuji pula adalah teras perancangan dan perlaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan system pentadbiran bagi umat yang berkualiti dan Negara yang terbilang.
- Mempertingkatan usaha-usaha penguasaan ilmu secara meluas, berterusan dan bersepadu antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
Maruah Negara berkait rapat dengan tahap keilmuan yang dimiliki oleh masyarakatnya. Negara yang maju mempunyai ramai cendiakawan dalam pelbagai bidang. Maka untuk menjadi sebuah Negara yang maju dan bertamadun, Malaysia perlu berusaha memperkasakan lagi tahap penguasaan ilmu rakyatnya dalam pelbagai bidang. Penguasaan ilmu sudah tentu akan dapat menjadi asas kepeada kesempurnaan modal insan diperlukan untuk mencapai kemajuan.
- Melahirkan lebih ramai golongan ilmuan atau pakar dalam pelbagai bidang dan menggunakan sepenuhnya kepakaran warga Malaysia untuk pembangunan Negara.
Pusat-pusat pengajian di dalam Negara telah berjaya melahirkan ramai golongan professional dari kalangan rakyat tempatan. Walaubagaimanapun, tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang kepakaran tertentu masih belum mencukupi atau standing dengan pencapaian Negara-Negara maju. Sebagai contoh, Malaysia masih lagi bergantung kepada pakar-pakar asing dalam bidang-bidang penting seperti perubatan, bioteknologi, ICT, dan sebagainya. Justeru, strategi bagi melahirkan lebih ramai golongan pakar dalam pelbagai bidang perlu dilaksanakan secara meluas bagi mengurangkan kebergantungan Negara secara berterusan kepada pakar-pakar dari luar Negara.
- Menjadikan Malaysia pusat kecermerlangan ilmu dalam semua bidang
Kemajuan dalam bidang ilmu merupakan pra-syarat untuk menjadi sebuah Negara maju dan bertamadun. Para ilmuan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan, sebagaimana berlaku pada zaman kegemilangan umat Islam di Baghdad yang pernah menjadi pusat keilmuan terkenal dunia ketika itu. Kegemilangan seperti ini sudah tentu akan dapat diwujudkan semula di rantau dunia melayu, khasnya di Malaysia, dengan syarat segala prasarana keilmuan dibangunkan secara meluas dan terancang. Dalam masa yang sama kebergantungan Malaysia kepada institusi pendidikan tinggi luar Negara bagi melatih dan melahirkan professional tempatan dalam pelbagai bidang dapat dikurangkan. Melalui pendekatan Islam hadhari, strategi telah diatur bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecermerlangan ilmu dalam semua bidang terutamanya di dalam bidang keilmuan. Melaksanakan program-program yang boleh memberikan kesedaran masyarakat mengenai peranan dan kelebihan para ilmuan supaya boleh dijadikan dorongan dan teladan untuk memajukan diri. Melaksanakan program-program yang boleh membina kesedaran, memberi galakan dan memperluaskan penterjemahan sumber ilmu dari bahasa asing ke dalam bahasa Malaysia dan sebagainya.
- Membanyakkan hasil kajian baru yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh manusia
Budaya kebergantungan Negara kepada institusi pendidikan luar Negara bagi melahirkan profeional telah berlaku sejak sebelum merdeka. Sehingga kini amalan ini masih diteruskan lagi bersesuaian dengan keperluan kepada pembangunan Negara. Dalam pendekatan Islam hadhari , strategi telah dirangka bagi memperluaskan penerokaan bidang keilmuan dalam Negara. Penerokaan ilmu tersebut bertujuan menghasilkan lebih banyak penemuan-penemuan baru yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam dan seluruh manusia. Malaysia akan terus mengorak langkah yang positif sebagai sebuah Negara peneroka dan tidak selamanya kekal sebagi Negara pengguna.
- Memperluaskan hasil-hasil penyelidikan kepada produk-produk ekonomi yang boleh dimanfaatkan kepada ummah
Alhamdulillah, Malaysia adalah sebuah Negara biodiversiti yang kaya dengan flora dan fauna. Seharusnya kita berasa bangga dengan kelebihan kurniaan Ilahi ini dan bijak memanfaatkannya untuk menjana ekonomi Negara. Saban tahun ramai penyelidik dari luar Negara dating ke Malaysia untuk menjalankan kajian terhadap tumbuh-tumbuhan dan hasil bumi di Negara ini. Kajian-kajian mereka telah berjaya menghasilkan pelbagai produk ekonomi yang mendatangkan pulangan lumyan seperti herba dan ubat-ubatan. Kita perlu mengambil inisiatif secara bijak untuk menerokai bidang ini secara meluas kerana sunber tersebut berada di bumi kita.
- Menonjolkan peranan ilmuan dan sumbangan mereka kepada pembangunan ummah, serta berusaha menjadikan mereka sebagai role model dalam masyarakat bertamadun
Menghormati golongan ilmuan serta menjadikan mereka sebagai sumber rujukan adalah antara ciri-ciri yang dimiliki oleh masyarakat yang bertamadun. Pendekatan Islam hadhari melihat sikap ini perlu dipupuk dan dikembangkan bukan shaja terhadap mereka yang alim dalam bidang keagamaan, malah meliputi semua ilmuan yang turut membangunkan Negara untuk faedah generasi masa kini dan generasi akan datang.
Pendekatan Islam hadhari adalah tepat pada masanya terutamanya ketika umat Islam sedang menghadapi arsu perubahan moden yang sangat mencabar seperti perubahan politik, ekonomi, pendidikan, teknologi maklumat dan lain-lain. Pendekatan ini amat baik dan mulia kerana ia mengiktiraf hak semua orang Islam dan bukan Islam, menuntut kemajuan ilmu dan menepati cirri-ciri keserdahanaan yang dituntut oleh agama.
Marilah kita semua berusaha dengan lebih gigih lagi unutk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan bagi memampukan kita bersaing dengan bangsa dan Negara lain, mengharungi kehidupan, menangani cabaran dan halangan dan mencipta kejayaan. Semua kita akan bergantung kepada kekuatan dan keupayaan kita dalam mendepani segala perkembangan dunia yang semakin mencabar. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib kita semua, malainkan kita sendiri yang mengubahnya.
Syeikh Al-HAmdawi